BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 28 April 2010

BeRiTa tErKiNi (28 April 2010)


BATU PAHAT: Penduduk sekitar Bukit Perdana 2 di sini, dilanda kebimbangan apabila kawasan bukit yang ditarah berdekatan rumah tangki air yang memuatkan beribu gelen simpanan air untuk penduduk seolah-olah dibiarkan tanpa kerja baik pulih dilakukan mahupun pengawasan daripada pihak pemaju. Lebih menakutkan kedudukan bukit berkenaan yang dipenuhi batu-batu besar itu tidak sampai 50 meter daripada lapan unit rumah berkembar dua yang baru selesai pembinaannya tetapi belum dimasuki pembelinya dan berselang dengan rumah penduduk yang sudah berpenghuni. Malah, apa yang lebih membimbangkan ketiadaan pagar mahupun hadangan yang dibina bagi menutupi kawasan itu bagi mengelakkan struktur tanah atau batu memasuki kawasan jalan rumah penduduk. Keadaan itu menyebabkan ia mudah dimasuki kanak-kanak, apatah lagi di belakang bukit itu ada kawasan air bukit yang mengalir dan menjadi tumpuan golongan itu bermain atau mandi-manda. Tinjauan mendapati keadaan bukit berkenaan berupaya untuk ‘bergerak’ berikutan batu-batu besar serta tanah di situ kelihatan tidak mampat apatah lagi jika hujan lebat, dibimbangi tragedi tanah runtuh seperti di Bukit Antarabangsa berulang. Penduduk Bukit Perdana, Kamal Muhamad, 60, seorang pesara, berkata kawasan bukit yang ditarah itu merbahaya kepada penduduk setempat apatah lagi rumah tangki taman taman itu terletak betul-betul di tepi cerun bukit berkenaan. “Saya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada rumah tangki yang memuatkan beribu-ribu gelen air jika ditakdirkan struktur tanah di situ tidak lagi mampu bertahan serta bergerak bersama-sama batu besar berkenaan. Saya pun tidak tahu apakah pembeli rumah di depan bukit yang ditarah itu menyedari apa yang berlaku terhadap bukit di depan rumah mereka. “Sebelum ini kawasan bukit itu dipenuhi pokok menghijau dan keadaan amat nyaman sekali. Saya tidak pasti apa yang mahu dilakukan terhadap bukit itu sehingga ia ditarah, sehingga beberapa lori masuk dan mengangkut tanah sebelum ia ditinggalkan terbiar beberapa minggu lalu,” katanya. George Choo, 46, seorang eksekutif yang tinggal selang beberapa baris daripada kawasan bukit yang ditarah berkenaan berkata, beliau sekeluarga turut berasa bimbang dengan keselamatan mereka. “Saya tidak pasti sama ada bukit itu stabil atau tidak tetapi apabila hujan, air tanah berwarna merah akan mengalir mengotorkan jalan di sini menyebabkan perasaan bimbang jika terjadi tanah runtuh. “Saya harap pihak pemaju atau berkuasa dapat memantau kawasan berkenaan atau seelok-eloknya bina penghadang atau pun kawasan bukit itu dibaiki bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku lebih-lebih lagi rumah tangki air itu jelas kelihatan berada di cerun bukit,” katanya. Seorang lagi penduduk, Wan Halimaton Saadiah Mohd Ismail, 28, yang juga suri rumah berkata, kawasan bukit berkenaan menjadi kawasan tumpuan penduduk sekitar disebabkan wujud air terjun mini ekoran air bukit yang mengalir. “Kawasan air bukit mengalir terletak bersebelahan dengan kawasan bukit ditarah itu. Jika dulu saya membiarkan anak saya bermain bersama rakannya, kini saya tidak benarkan lagi berikutan bimbang jika terjadi perkara tidak diingini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan