TANAH MERAH: “Saya terdengar suara jeritan bayi tapi tak tahu di mana. Sebaik membuka pintu rumah, saya terkejut apabila mendapati seorang bayi dibalut dengan kain selimut ditinggalkan di beranda rumah,” kata Sukma Abdullah, 53.
MALANG...bayi yang ditinggalkan
Menurut Sukma, sebelum itu dia sedang bersiap untuk tidur sebelum dikejutkan dengan suara tangisan bayi.
Katanya, dia yang tinggal berseorangan agak takut kemungkinan diganggu ‘makhluk halus,’ namun sangkaannya meleset apabila dikejutkan dengan kehadiran bayi itu.
“Ketika itu, saya ingin masuk tidur tapi terdengar suara bayi. Saya takut dan turut menyangka tangisan itu adalah anak jiran yang mungkin sakit.
“Saya kemudian memeriksa dalam rumah sebelum membuka tingkap dekat pintu utama. Saya terkejut kerana ternampak ada ‘benda’ di beranda rumah sebelum memberanikan diri membuka pintu untuk melihat dari dekat. Saya terkejut mendapati ia seorang bayi,” katanya.
Sukma berkata, dia yang panik kemudian terus memberitahu jiran berhampiran sebelum menghubungi polis.
Katanya, dia turut hairan bagaimana ada individu boleh meninggalkan bayi di situ sedangkan terdapat ramai orang lalu lalang di depan rumahnya untuk mengunjungi pasar malam.
“Bayi itu ditinggalkan dalam keadaan sempurna dan sihat cuma terdapat sedikit kesan darah,” katanya.
Bayi seberat 3.3 kilogram itu dikatakan baru berusia dua hari dan masih bertali pusat.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud, berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat awam.
Katanya, bayi terbabit didapati dalam keadaan berbungkus dengan kain tuala dan selimut.
“Bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Tanah Merah bagi mendapatkan rawatan segera di unit kecemasan sejurus kemudian.
“Setakat ini bayi itu ditempatkan di Wad Penjagaan Kanak-kanak dan suspek masih dicari,” katanya.
Menurutnya, polis turut meminta kerjasama pegawai Pejabat Pelajaran Daerah selain orang ramai untuk membantu siasatan.
“Semakan akan dibuat di sekolah menengah bagi mengenal pasti pelajar yang tidak hadir ke sekolah untuk tempoh beberapa hari dan beberapa klinik swasta sekitar daerah bagi membantu siasatan.
“Mereka mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Mardiana di talian 09-9557704,” katanya.